NILAI: Impian pelumba pilihan hangat, Sany Syahmi Mohd Shafiee untuk menyarung jersi kebangsaan musnah apabila terjatuh di selekoh kedua terakhir menuju ke garisan penamat pada Kejohanan BMX Kebangsaan 2022 di Trek BMX Kebangsaan Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan semalam.
Pelumba Terengganu Hanelang itu sedang selesa mendahului 7 lagi pelumba dan kelihatan hampir pasti untuk mengucup kejuaraan kebangsaan 2022 kategori elit lelaki sekali gus mengesahkan slot tiket ke Kejohanan Lumba Basikal BMX Asia 2022 (BMX ACC) September nanti.
Namun impian Sany Syahmi tidak kesampaian apabila dia terlanggar basikal seorang lagi tonggak Terengganu Hanelang, Amer Akbar Anuar terjatuh lebih awal ketika cuba untuk memintas pendahulu perlumbaan ini.

Sany Syahmi gagal untuk meneruskan perlumbaan manakala Amer Akbar meneruskan langkahnya untuk menduduki tempat ke-5 dengan catatan masa 41.504 saat.
Insiden tersebut dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelumba Singapura, Mas Ridzwan Mohammad Ali yang merakam masa 36.011 untuk merangkul pingat emas.
Bagaimanapun, pelumba Singapura itu tidak diisytiharkan sebagai juara kebangsaan sebaliknya penghargaan itu diraih pelumba Sarawak, Mohamad Faris Mohd Nashari yang menduduki tempat kedua dengan masa 36.196s.
Pingat gangsa elit lelaki diraih seorang lagi peserta Sarawak, Yohannes Larenza Anak Meahian yang merakam masa 36.323s.
Tatkala Sany Syahmi dirundung malang, seorang lagi peserta pilihan daripada Terengganu Hanelang, Eddyna Nasuhar Zainal Abidin tidak bermasalah untuk mengesahkan kejuaraan BMX Kebangsaan edisi 2022.
Siti Natasha Mohd Basri daripada pasukan Sukma Selangor meraih pingat perak manakala kilauan gangsa digondol pelumba OSBMX Johor, Siti Qamariyana Mt Sali.
Bagi kategori junior lelaki, Darwish Putra Muhd Sanusi daripada MSN Kedah muncul juara dengan catatan masa 32.820s manakala pelumba Terengganu Hanelang, Siti Nurliana Muhamad Nazri muncul juara junior wanita.
Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd Wahab mengaku pihaknya kini terpaksa melakukan sesuatu demi menentukan nasib dua pelumba Terengganu Hanelang tersebut.
"Agak malang apabila anda terjatuh ketika mendahului sesuatu perlumbaan. Sekalipun anda peserta pilihan, pingat emas akan jadi milik orang lain sekiranya anda terjatuh," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan PKBM semalam.