PETRONAS secara rasmi diumumkan sebagai penaja perdana perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) selama tiga tahun berturut-turut mulai edisi 2023 yang dijadualkan berlangsung dari 23 hingga 30 September ini.

Lebih menarik, syarikat gergasi minyak dan gas multinasional Malaysia itu akan turut menaja jersi pendahulu keseluruhan Petronas LTdL yang memasuki edisi ke-27 tahun ini.

Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas, Datin Anita Azrina Abd Aziz berkata, pihaknya berbesar hati menyertai 'keluarga' perlumbaan berstatus ProSeries itu sebagai penaja perdana.

“Mewakili pihak Petronas, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) kerana telah menjadikan LTdL sebagai satu acara berprestij.

“Sebagai penaja perdana, kami yakin bahawa kerjasama ini sebagai satu langah penting untuk meningkatkan martabat serrta kualiti acara sukan berbasikal di Malaysia.

“Kerjasama ini mencerminkan tekad Petronas untuk turut serta membina masa depan yang lebih gemilang bagi sukan berbasikal negara bersama-sama KBS dan MSN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengumuman Penaja Perdana LTdL 2023 di MSN, Bukit Jalil sebentar tadi yang turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Turut hadir Ketua Setiausaha KBS, Dr K Nagulendran, Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh.

 Sumber: Sinar Harian Online